ISU UNDANG-UNDANG
KANUN JENAYAH SYARIAH (II) 1993 NEGERI KELANTAN
1. Semua pihak di kalangan umat Islam adalah wajib menerima kewajiban melaksanakan syariat tanpa menuding jari atau menuduh atau melekehkan di antara satu sama lain. Perlu diingati bahawa perkara yang berkait dengan “ikhlas” adalah urusan Allah, bukan urusan kita.
2. Allah telah menegaskan wujudnya berbagai lapisan dan peringkat di kalangan umat Islam. Baca dan fahamilah firman Allah SWT :
وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ هُوَ الْحَقُّ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ إِنَّ اللَّهَ بِعِبَادِهِ لَخَبِيرٌ بَصِيرٌ (31) ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ (32) فاطر.
Maksudnya :
(31) Dan al-Quran yang Kami wahyukan kepada mu (Wahai Muhammad) ialah yang benar (segala-galanya) yang tetap mengesahkan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui dengan sedalam-dalamnya akan keadaan sekalian hambaNya, lagi Maha melihat dan memerhatikan.
(32) kemudian Kami jadikan al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang kami pilih dari kalangan hamba-hamba kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengendahkan ajaran al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata). [Surah Fathir]
3. Apa yang wajib ialah membetulkan kefahaman dan menjelaskan terhadap salah faham dan kekeliruan terhadap hukum Allah yang Maha Adil dan Bijaksana. Maka berdosa sekiranya kita semua sibuk dengan perkara sampingan tersebut, iaitu dengan membahaskan keikhlasan atau dengan memperlekehkan di antara satu sama lain.
4. Kita perlu juga ingati bahawa ada kalangan yang hanya mengenali isu ini sebagai isu “hukum Hudud” atau sebahagian daripada hukumnya sahaja, tanpa menyedari bahawa Hudud sebenarnya hanya salah satu daripada cabang undang-undang Kanun Jenayah Syariat Islam (II) yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri Kelantan pada tahun 1993. Fahamilah ilmu jenayah syariah Islam itu dalam bentuknya yang lebih jelas seperti hudud, qisas dan takzir.
5. Setengahnya juga tidak ingin memahami kesempurnaan Islam dan hukumnya yang memberi petunjuk ke jalan yang benar tanpa menyekat kemampuan akal yang bijak dan hak asasi yang tidak melampau sehingga menghilangkan sifat kemanusiaan yang sebenar. Sehingga ada yang lebih bersimpati terhadap penjenayah, tanpa peduli terhadap mangsanya. Atau lebih melihat hak asasi binatang lebih daripada hak asasi manusia yang sebenarnya.
6. Sebenarnya kita wajib mengambil hikmah dari para perunding kemerdekaan negara yang mewujudkan Perlembagaan yang memberi ruang adanya hak hukum Syariat dan undang-undang jenayahnya, sehingga menolak dakwaan halangan perlembagaan terhadap wujudnya berbagai-bagai undang–undang dalam masyarakat majmuk.
7. Kewajipan umat Islam sendiri ialah menafsirkan Islam yang sebenar yang wajib menjadi pegangan mereka dan membuang saki baki sekatan penjajah dalam perlembagaan, kerana kita telah mencapai kemerdekaan.
8. Kalangan bukan Islam pula sudah ada hak mereka yang termaktub dalam perlembagaan. Sepatutnya penganut Islam menyedari hak mereka yang sebenar untuk percaya dan beramal dengan ajaran Islam yang sebenar.
9. Fenomena yang berlaku diwaktu ini ialah merebaknya penyakit jenayah yang menimpa seluruh rakyat tanpa mengira kaum, khususnya jenayah berat, menandakan tidak ada kehebatan undang – undang ciptaan manusia yang diamalkan sekarang. Adapun umat Islam wajib kembali ke pangkal jalan kepada ajaran agama Islam yang wajib diperkasakan. Ini adalah hak penganut Islam yang wajib dilindungi oleh perlembagaan yang wajib adil terhadap semua.
10. Ada pun kebimbangan penganut bukan Islam telah dijelaskan oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Adapun al-Quran ialah firman Allah:
فَإِنْ جَاءُوكَ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ وَإِنْ تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَنْ يَضُرُّوكَ شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِالْقِسْطِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (42) المائدة .
Maksudnya :
(42) oleh itu kalau mereka datang kepadaMu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau Engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika Engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
11. Ayat ini menunjukkan, walau pun berkait dengan penganut agama Yahudi Ahli kitab yang ada hukum hudud dan qisas dalam kitab mereka, namun tidak dipaksakan ke atas mereka. Apa lagi kepada penganut agama yang tidak ada undang –undang jenayahnya yang tersendiri.
12. Imam Ibnu Kathir dan lain-lain merekodkan bahawa perkara ini berlaku dalam masyarakat majmuk di awal negara Islam. Maka mazhab Islam yang diamalkan dalam masyarakat majmuk mengambil kira sejarah ini. Di antaranya mazhab Maliki, Hanafi dan kalangan mazhab Syafe’i dan mazhab yanag lain. Perkara ini termasuk dalam konsep tidak ada paksaan dalam agama.
13. Adapun dakwaan tidak adil terhadap penganut Islam adalah sebenarnya berpunca daripada kejahilan, sehingga salah faham terhadap ajaran agama sendiri, kerana tidak menyedari hikmah kehebatan undang-undang yang menggerunkan sehingga kadar jenayah menurun dan akhirnya hapus di kalangan penganut Islam. Adalah salah akal, sekiranya memahami bahawa rakyat akan berlumba untuk mencuri supaya dipotong tangan dan kaki, apa yang sebenarnya berlaku ramai kalangan para penjenayah akan bertaubat.
14. Wajib difahami, bahawa undang-undang jenayah Islam lebih bersifat mendidik daripada menghukum, kerana adanya syarat-syarat yang sangat menyusahkan bagi menjatuhkan hukuman Qisas dan Hudud yang dinaskan dan lebih banyak ruang kepada hukuman Takzir yang lebih ringan dan dengan mendidik. Dalam masa yang sama hakim diminta mencari jalan untuk membebaskan, sama ada daripada kefahamannya sendiri atau bantuan para peguam, dengan meneliti segala keterangan saksi dan lain-lain, disertakan dengan ayat al-Quran dan Hadis yang lebih menggalak bertaubat kepada Allah dan memaafkan di luar mahkamah.
Sabda Rasulullah SAW
تدرأ الحدود بالشبهات
(Hukum hudud ditolak dengan adanya kekeliruan )
15. Kekeliruan yang wujud semasa perbicaraan adalah meliputi sama ada wjudnya unsur paksaan, kejahilan tegar, atau fitnah dalam sesuatu kes itu. Dalam hal ini Imam Malik menegaskan : ”Sekiranya ada satu unsur kekeliruan daripada sembilan puluh sembilan bukti yang sahih maka tidak boleh dijatuhkan hukuman. Sabda Rasulullah S.A.W. :
“Kesilapan hakim membebaskan orang yang dituduh lebih baik
daripada kesilapan menjatuhkan hukuman”
16. Kalangan penentang pelaksanaan Syariat sengaja memilih aspek Hudud dan khususnya isu memotong tangan pencuri dan perompak dan mencacatkan anggota menjadi ruang untuk menyerang undang-undang syariat Allah yang dinaskan, tanpa menghormati hak mangsa jenayah dan lebih mempertahankan penjenayah yang sangat zalim.
17. Hudud dan Qisas adalah hukum jenayah yang dinaskan dalam Al Quran dan Hadis, di mana sejumlah kecil sahaja yang disenaraikan, hanya dalam perkara yang tidak mungkin diselesaikan oleh akal manusia, maka Allah memberi petunjuk dengan rahmatnya. Ada juga yang boleh dikeluarkan daripada senarai Hudud kerana adanya kalangan ulama yang tidak mengiranya kerana nas yang bersifat umum. Ada perkara lain yang tidak terkiranya banyaknya, maka Allah mengizinkan kebijaksanaan manusia dan pengalamannya.
18. Cukuplah dengan akibat tidak mampu mengatasi jenayah khususnya keganasan dan moral yang memusnahkan kehidupan manusia. Bagi penganut Islam, keizinan ini menjadi sempadan aqidah yang besar, kerana firman Allah memberi amaran :
مَنْ كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ وَمَنْ كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ نَصِيبٍ (20) أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللَّهُ وَلَوْلَا كَلِمَةُ الْفَصْلِ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (21 ) الشورى .
(20) Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakiNya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar Yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.
(21) Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan - mana-mana bahagian dari agama mereka - sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian). dan Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
19. Kerajaan negeri Kelantan di bawah PAS sepenuhnya sejak tahun 1990. Undang –undang jenayah syariat dikemukakan mengikut proses siyasah syariah, politik Demokrasi dan pengurusannya. Setelah disusun oleh pakar Syariah dan perundangan moden, ianya di bawa terlebih dahulu kepada umum dengan jemputan kepada semua parti politik, NGO Islam dan bukan Islam untuk mendengar dan memberi penjelasan kepada semua pihak. Selepas ini selesai, baharulah ianya dibawa kepada Dewan Undangan Negeri Kelantan, kemudiannya Terengganu dan berlakulah polemik ilmu secara terbuka selepas dari itu.
20. Oleh kerana PAS terus memimpin di Kelantan, maka PAS memilih Kelantan sahaja, dan PAS wajib menerima secara positif terhadap semua pihak yang bersedia menerimanya dan bersedia memberi penjelasan terbuka atau tertutup kepada semua pihak yang masih ragu atau tidak faham hakikatnya yang sebenar. Marilah kita menjelas dan menyatakan Islam adalah rahmat kepada seluruh manusia.
PRESIDEN PAS
5 Mei 2014
RAHMAT UNTUK SEMUA - Firman Allah SWT : "Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam" [Al-Anbiya : 107].
Firman Allah (Al-Baqarah : 208),: “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu”
Firman Allah (Al-Baqarah : 208),: “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu”
Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya Engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah Engkau menjadi Pembela bagi orang-orang yang khianat. [An Nisa' : 105]
Monday, 5 May 2014
Isu undang-undang kanun jenayah syariah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment