RAHMAT UNTUK SEMUA - Firman Allah SWT : "Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam" [Al-Anbiya : 107].

Firman Allah (Al-Baqarah : 208),: “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu”

Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya Engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah Engkau menjadi Pembela bagi orang-orang yang khianat. [An Nisa' : 105]

Saturday, 25 January 2014

Perginya Seorang Ulama’ Dan Murabbi

- Tuan Guru Dato’ Ustaz Harun Taib Sentiasa Dalam Ingatan
Sabda Nabi sallallahualaihi wasallam:
” Sesungguhnya Allah tidak menarik ilmu dengan tarikan sekaligus daripada manusia, akan tetapi ditarik ilmu dengan kematian ulama sehingga apabila tidak ada ulama, manusia akan mengambil daripada ketua-ketua yang jahil, orang bertanya dan mereka memberikan fatwa tanpa asas ilmu lalu mereka sesat dan menyesatkan orang lain” . Hadis sahih riwayat Imam Muslim
Umat Islam di Malaysia pada hari ini menyaksikan pulangnya ke Rahmatullah seorang lagi tokoh ulama’ dan murabbi, Allahyarham Tuan Guru Dato’ Harun Taib akibat keuzuran dari penyakit yang beliau hidapi. Al Marhum Tuan Guru adalah Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat dan ahli Majlis Syura Ulama’ PAS.
Nama Al Marhum Tuan Guru begitu sinonim dengan tarbiyah dan perkaderan. Boleh dikatakan majoriti pimpinan yang mengisi saf kepimpinan jamaah pada waktu ini pernah merasa didikan tarbiyah secara langsung dari beliau. Buah fikiran Al Marhum, antaranya yang berkaitan siasah, qiadah dan wala’ serta taadud jamaah melatari silibus usrah PAS.
ustaz harun meninggal1Komitmen Al Marhum terhadap ilmu amat jelas. Seorang penulis karya dakwah yang prolifik, Al Marhum merupakan antara segelintir kecil anak Melayu ketika zamannya yang mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD di Universiti al Azhar yang memang diketahui umum sebagai sangat-sangat sukar. Keilmuan yang ada pada Al Marhum menjadikan beliau antara pakar rujuk utama penggubalan enakmen Hudud negeri Kelantan dan Terengganu.
Al Marhum juga terkenal dengan sikap tegas di dalam menjelaskan pendirian jamaah sehinggakan di dalam banyak isu, beliau dianggap sebagai menongkah arus. Ianya dapat disaksikan di dalam komentar beliau mengenai isu kerajaan perpaduan pasca PRU ke 12, penggunaan kalimah Allah dan peningkatan fahaman liberal dan plural di dalan masyarakat. Pada waktu ramainya ahli-ahli politik masa kini yang mengambil pendirian populis, Al Marhum tidak apologetik dan berani di dalam keyakinannya melahirkan pandangan yang boleh menjelaskan jatidiri Islam dan PAS.
Sesungguhnya pemergian murabbi agung ini adalah satu lagi tanda Allah swt sedang menjemput pulang mereka yang fakih akan agamaNya dan semakin dekat pula hari penentuan.
Al Marhum Tuan Guru Dato’ Harun Taib meninggalkan seorang balu Datin Fatimah Ibrahim dan 5 orang anak. Anak al Marhum, YB Ustaz Hilmi Harun kini menyandang kerusi Dun Manir yang pernah di sandang oleh Al Marhum.
Dewan Pemuda PAS Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga al-Marhum. Semoga ruh beliau dilimpahkan dengan kebaikan dan ditempatkan di kalangan para syuhada’ dan solihin. Al Fatihah.
Muhammad Khalil Abdul Hadi
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia
23 Rabiulawwal 1435 / 25 Januari 2014

No comments:

Post a Comment